Wednesday, July 20, 2011

Buluh Punyai Kekuatan Anjalan


KOTA BHARU - Penggunaan buluh di negara ini belum dieksploitasi sepenuhnya dan bahan mentah itu hanya terhad digunakan dalam perusahaan perabot dan kraf tangan.

Ketua Jabatan Sumber Bumi, Fakulti Agro-Industri dan Sumber Asli (FASA) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr. Razak Wahab berkata, negara mempunyai 500 hektar atau lima peratus kawasan hutan yang dilitupi oleh buluh.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, buluh hanya digunakan dalam industri perabot dan itupun menggunakan buluh mentah yang diimport dari Indonesia.

"Padahal, kajian menunjukkan bahawa bilah buluh sebenarnya mempunyai kekuatan anjalan lebih tinggi berbanding kayu jati dan meranti yang menjadi asas dalam bahan binaan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah bertajuk 'Manfaat dan kegunaan buluh' sempena program Siri Ceramah Perdana Profesor UMK di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed; Timbalan Dekan FASA, Aweng Eh Rak dan Ketua Jabatan Agro-Industri FASA, Dr. Noor Azlina Ibrahim.

Razak berkata, dalam industri perabot sahaja, penggunaan buluh bagi penghasilan set-set perabot boleh mencecah harga ribuan ringgit kerana kualitinya.

"Tetapi, menjadi mentaliti rakyat di sini memilih hasil perabot buluh import dari negara jiran," katanya.

Beliau sehubungan itu, mencadangkan pengusaha tempatan mengambil peluang membuat produk berasaskan buluh komposit yang boleh dieksport ke luar negara.

"Indonesia setakat ini hanya mengeksport buluh mentah atau buluh yang dikerat dalam bentuk bulat sahaja. Kita sewajarnya mengambil langkah lebih luas dengan merawat dan memproses buluh untuk dieksport sebagai kayu beluti yang boleh digunakan dalam industri binaan.

"Selain mendapatkan buluh dari hutan, buluh boleh kita tanam sendiri melalui kaedah tisu kultur untuk hasil yang lebih baik dan kepakaran ini sudah ada di negara kita," katanya.

Razak berkata, buluh mempunyai potensi tinggi menggantikan industri pembalakan pada masa hadapan dan boleh digunakan dalam pelbagai lapangan termasuk menjadi bahan utama dalam pembinaan dan kejuruteraan.

Katanya, dengan perkembangan pelbagai kajian mengenai kegunaan sumber itu, aplikasi buluh secara meluas bukanlah suatu perkara yang mustahil.

Bekas Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Perhutanan Tropika Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu merupakan penerima 12 anugerah antarabangsa dan sembilan anugerah peringkat kebangsaan hasil daripada kajiannya dalam bidang sains teknologi kayu.

Antaranya, Anugerah Emas di Geneva Invention 2006 untuk ciptaan mesin rawatan haba bagi buluh dan di Ekspo Reka Cipta dan Produk Baru (Inpex) Amerika Syarikat 2008 untuk papan partikel menggunakan campuran buluh.

No comments:

Post a Comment